JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat pembinaan dan seorang pengurus besar sebuah syarikat pangkalan pelabuhan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, semalam.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dengan kes mengemukakan tuntutan palsu yang dianggarkan berjumlah hampir RM150,000.

Suspek lelaki yang masing-masing berusia 30 dan 39 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pada pukul 6 petang dan 8.30 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

'Difahamkan, pada tahun lalu, pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan tersebut telah meluluskan tiga tuntutan pembekalan dan pemasangan kabin daripada pemilik syarikat pembinaan berkenaan sedangkan ia tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini, bagi mendapatkan permohonan reman.