KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dilaporkan telah menghantar satu surat sepina kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Mohd Azam Baki.

Menurut portal Malaysiakini, surat itu adalah demi memastikan kehadirannya dalam mesyuarat khas yang bakal diadakan di Parlimen pada 19 Januari ini, bagi membincangkan isu pemilikan saham Azam dalam dua buah syarikat.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, yang juga salah seorang anggota jawatankuasa itu dipetik sebagai berkata, mereka telah diberitahu bahawa surat itu ditulis oleh Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

"Kami diberitahu bahawa setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha telah menulis surat memintanya menghadiri mesyuarat itu pada Rabu depan," kata Foong Hin seperti dilaporkan portal tersebut.

Selain itu, dia berkata, PSC mungkin merangka laporan susulan pertemuannya dengan Mohd Azam.

Mohd Azam baru-baru ini menjadi tumpuan media berikutan dakwaan beliau memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.

Dalam sidang media khas susulan, dia menafikan sebarang salah laku dan mengatakan adiknya menggunakan akaun sistem depositori pusat (CDS) miliknya untuk memperoleh saham itu.