Pemilu 2019: 1.5 juta rakyat Indonesia di Malaysia buang undi

Madiha Abdullah
April 14, 2019 08:34 MYT
Gelagat sebahagian warga Indonesia yang hadir untuk mengundi di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur hari ini. - Astro AWANI
Hari ini, 1.5 juta pengundi berdaftar Indonesia menjalankan tanggungjawab mereka dalam sesi pengundian awal Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2019.
Daripada jumlah itu, dianggarkan kira-kira 500,000 bermaustautin di Lembah Klang.
Tinjauan Astro AWANI mendapati pengundi sudah mula membanjiri Kedutaan Besar Indonesia, yang merupakan salah satu daripada tiga pusat mengundi yang dibuka di Lembah Klang, sejak 8 pagi.
Keadaan sedikit kecoh apabila hanya lima kaunter semakan dibuka, manakala jumlah kehadiran pengundi mencecah 5,000 orang.
Bagaimanapun, menjelang tengah hari, 13 kaunter tambahan dibuka sekaligus membantu mempercepatkan proses semakan.
Beberapa pengundi yang ditemui mengakui teruja untuk mengundi dan berharap proses pengundian di tanah air mereka nanti berjalan lancar.
"Walaupun jauh dari negara sendiri, tetapi saya tetap bersemangat. Setiap undian dikira dan saya mahu menjalankan tanggungjawab saya sebagai warga negara Indonesia," kata Widiarti yang kini tinggal di Taman Melawati.
"Tak kisah siapa pun menang, yang penting saya mahu lihat Indonesia terus ke hadapan. Kerana itu saya di sini," kata seorang lagi pengundi, Julia, yang sudah dua kali mengundi di Malaysia.
Selain di Kedutaan Besar, dua lagi lokasi adalah di Wisma Duta Indonesia dan Sekolah Indonesia Kuala Lumpur.
Pengundian berjalan dari jam 8 pagi sehingga 6 petang ini.
Pilihan raya Indonesia akan berlangsung 17 April ini, dengan tumpuan utama diberikan kepada persaingan antara Presiden Joko Widodo dan bekas ketua tentera, Prabowo Subianto.
#Kedutaan Indonesia #Pemilu 2019 #pengundi Indonesia #Pilpres 2019 #politik indonesia