Pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran PPBM atas dakwaan menipu mereka untuk mempercayai bahawa sayap itu entiti yang sah.

Wakil Armada Lanchang Airul Amir Amirudin berkata sayap itu pada hakikatnya tidak wujud dalam perlembagaan parti.

Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut diminta meletak jawatan ekoran kegagalannya menangani isu status pendaftaran Armada sebagai sayap PPBM, katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.

Seorang lagi pemimpin Mohd Izaid Mohd Nor berkata beliau kecewa dengan tindakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Syed Saddiq yang gagal menyelesaikan isu Armada dan isu lain yang berbangkit dalam parti.

Pada 20 Okt lalu, bekas Exco Armada Mohamad Taufik Abas mendakwa semakan di ROS mengesahkan Armada langsung tidak wujud dalam perlembangaan PPBM kerana hanya menyatakan penubuhan sayap Pemuda, Wanita dan Srikandi.

-- BERNAMA