Para pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) di Labuan diingatkan agar tidak mengambil mudah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) biarpun mereka dijangka dapat mempertahankan kerusi Parlimen Labuan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota BN di sini perlu terus bekerja keras bagi meningkatkan peluang untuk memenangi Parlimen Labuan dengan majoriti lebih besar menerusi sokongan lebih kuat daripada pengundi.

"Kalau dahulunya kita sudah mendapat majoriti yang agak selesa, kali ini kita mahu majoriti yang lebih besar lagi untuk menunjukkan rakyat dan pengundi di Labuan bukan sahaja mahukan Barisan Nasional tetapi memberi sokongan padu supaya usaha pembangunan di Labuan ini dapat berterusan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Mampu Milik di Kampung Ganggarak di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata berdasarkan taklimat oleh pengerusi BN Labuan yang juga Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussuf Mahal, sejurus tiba di sini, jentera BN kawasan ini berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi PRU-13.

"Majoriti pengundi (Labuan) sudah tahu tentang apa yang telah kerajaan Barisan Nasional lakukan dan pada waktu sekarang ini mereka sudah bersedia untuk sekali lagi mengulangi sokongan yang mereka telah beri kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang," katanya.