Pemimpin bukan untuk jawatan, sebaliknya tanggungjawab - Rafidah Aziz

Harits Asyraf Hasnan
Jun 7, 2018 15:09 MYT
Pemimpin di negara ini harus sedar bahawa menjadi pemimpin bukan hanya memegang jawatan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang harus digalas dengan sempurna. - Foto Fail / Bernama
Pemimpin di negara ini harus sedar bahawa menjadi pemimpin bukan hanya memegang jawatan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang harus digalas dengan sempurna.
Itu tegas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang menasihati para pemimpin di negara ini tidak kira parti.
Tambahnya, setiap perjuangan pemimpin itu tidak harus bermatlamatkan wang semata-mata.
"Kalau timbul unsur politik wang dan segala bergantung kepada wang, sampai ada yang kata ini pemberian dan anugerah Allah, itu adalah satu penyelewengan.
"Menjadi pemimpin itu bukan jawatan tapi menjadi pemimpin itu tanggungjawab yang besar. Ditambah lagi jika pemimpin itu seorang Islam yang bersumpah atas nama Allah SWT.
"Jadi bermakna kepimpinan tidak lagi berasaskan kepada nak memimpin ke arah yg lebih baik sebaliknya entah apa agenda masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual '100 Hari Malaysia Baharu' yang dihoskan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron di sini hari ini.
Ujar beliau, perubahan yang dilakukan rakyat Malaysia pada pilihan raya umum yang lalu adalah disebabkan tidak dapat lagi menerima konsep politik dan kepimpinan berteraskan wang.
#pemimpin #pilihan raya umum #politik #Rafidah Aziz #rakyat Malaysia #urus tadbir