Pemimpin DAP perlu kerja keras ubah stigma terhadap DAP

Bernama
Oktober 12, 2018 21:20 MYT
Loke (dua, kiri) bersalaman dengan anggota DAP pada Majlis Makan Malam DAP Terengganu di Kuala Terengganu, 12 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
DAP, parti komponen Pakatan Harapan (PH), mahu kepimpinan parti di tiga negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Terengganu, Kelantan dan Perlis supaya bekerja keras mulai sekarang bagi meraih sokongan rakyat khususnya pengundi Melayu.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata kepimpinan parti perlu memainkan peranan mendekati pengundi khususnya bagi mengubah persepsi terhadap DAP yang selama ini didakwa sebagai parti yang bersifat perkauman dan anti-Islam.
Menteri Pengangkutan itu berkata, penguasaan dua parti politik UMNO dan PAS selama berpuluh tahun di Terengganu dan Kelantan juga secara tidak langsung telah mencetuskan stigma dan persepsi negatif pengundi Melayu terhadap parti itu.
"Jadi kita minta kepimpinan parti terus mendekati para pengundi, gerakkan jentera parti dari sekarang agar mereka jadi mata dan telinga kepada pemimpin atasan kerana kita tidak mempunyai wakil rakyat di negeri-negeri ini bagi mendengar segala kesulitan atau masalah yang dihadapi mereka.
"Kita sedaya upaya akan cuba ubah persepsi negatif itu. DAP kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan (pemerintah) dan kita bukan parti perkauman, bukan anti-Melayu, bukan anti-Islam dan kita berkhidmat untuk semua.. saya sebagai menteri juga berkhidmat untuk semua kaum bukan untuk kaum tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Malam Mengutip Dana DAP Terengganu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Wei Sin, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hin.
Mengulas perkembangan DAP di dua negeri Pantai Timur itu, Anggota Parlimen Seremban itu berkata DAP Pusat tidak meletakkan sasaran jumlah anggota baharu tetapi dimaklumkan terdapat peningkatan di setiap negeri termasuk di Terengganu sejak PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
"Di Terengganu, kita ada 15 cawangan dan setiap cawangan mempunyai 50 hingga 100 ahli dan kita juga akan membuka 15 cawangan baharu di beberapa tempat di negeri ini dan antara kawasan tumpuan adalah luar bandar.
"Ini antara usaha awal kita untuk terus mendekati rakyat, dengan mengadakan majlis makan malam sebegini untuk mengutip dana bagi membantu rakyat yang memerlukan kerana kita tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk kerja-kerja parti," katanya.
-- BERNAMA
#Anthony Loke #anti-Islam #DAP #Kelantan #kepimpinan #kerajaan #Malaysia #parti #PAS #pengundi melayu #perkauman #Perlis #politik #PRU14 #rakyat #stigma #terengganu #ubah persepsi