BANGKOK: Pemimpin dunia memberi reaksi terhadap berita tragedi pembunuhan menggunakan pisau dan senjata api pada Khamis yang mengorbankan 37 orang, termasuk 22 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut Thailand.

Perdana Menteri Britain Liz Truss melahirkan rasa kecewanya terhadap tragedi di pusat jagaan kanak-kanak di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu, kira-kira 500 km timur laut Bangkok.

"Saya terkejut mendengar peristiwa ngeri di Thailand pagi ini. Doa dan ingatan saya buat semua yang terjejas. UK bersama-sama rakyat Thai pada masa yang sukar ini," tulisnya di Twitter.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat yang terjejas akibat kejadian itu.

"Sukar untuk menerima berita yang sedih dan ngeri dari Thailand ini. Seluruh warga Australia menyampaikan doa dan ucapan takziah mereka," tulisnya di Twitter.

Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat Jake Sullivan berkata AS berasa ngeri dengan tragedi tembakan di pusat jagaan kanak-kanak itu.

"Imej itu amat menyayat hati dan ucapan takziah kami ucapkan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang. Kami mengecam tindakan keganasan ini dan bersedia untuk membantu Thailand dalam apa jua yang mereka perlukan," katanya.

BACA: Lebih 30 maut dalam tembakan rambang di taska di Thailand 

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata rakyat Malaysia terkejut dan amat sedih apabila mengetahui tentang kehilangan nyawa dan kecederaan berikutan tragedi yang mengerikan itu.

"Kami amat bersimpati kepada keluarga dan rakan-rakan yang kehilangan orang tersayang dan kami mendoakan mereka yang sedang menerima rawatan pulih dengan segera," katanya dalam tweet.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata bendera negara Thai akan dikibarkan pada separuh tiang di semua premis kerajaan pada Jumaat berikutan tragedi itu.

Pelaku seorang bekas polis melarikan diri dari tempat kejadian dengan kenderaan dan kemudian membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum maut menembak dirinya sendiri.

Polis berkata, kebanyakan daripada 22 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun itu mati ditikam.

Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut berasa sedih dan terkejut dengan kejadian tragis itu.

Dalam satu kenyataan, UNICEF mengesa orang ramai dan media untuk mengelak daripada menyiarkan atau mengirim semula imej dan video yang berkaitan dengan kejadian keganasan itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kanak-kanak, keluarga dan orang yang terdekat dengan mereka.

"UNICEF mengecam semua bentuk keganasan terhadap kanak-kanak. Tiada kanak-kanak sepatutnya menjadi sasaran atau saksi keganasan di mana-mana, pada bila-bila masa.

"Pusat perkembangan awal kanak-kanak, sekolah dan semua ruang pembelajaran mesti menjadi tempat selamat untuk kanak-kanak kecil belajar, bermain dan membesar pada usia paling kritikal mereka.

"UNICEF menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dan cedera. Kami bersama-sama seluruh rakyat Thailand yang berkabung dan berharap mereka yang terjejas menerima sokongan sewajarnya dan tepat pada masanya," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA