KUALA LUMPUR : Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru semua pemimpin politik agar mempercepatkan usaha membuat pindaan berkaitan hak kewargangeraan dalam Perlembagaan Persekutuan supaya ia tidak lagi berat sebelah.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, berkata keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang, mengguris hati wanita Malaysia.

"Saya menyeru semua  pemimpin politik untuk mempercepatkan pindaan berkaitan hak kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan supaya ia tidak lagi berat sebelah.

"Pada tahun 2001, semasa saya menjadi Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga saya dan Kementerian berusaha meminda Perkara 8(2) Perlembagaan dengan memasukkan "gender", kerana kami percaya secara asas kepada kesamarataan wanita dan lelaki, sama-sama warga Malaysia.

"Telah tiba masanya kita betulkan jurang dalam undang-undang, kita pinda supaya ia kekal, benar dan nyata," katanya dalam satu status yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Sabtu.

BACA: Mahkamah putuskan anak lahir di luar negara oleh wanita M'sia tidak layak dapat kerakyatan

Shahrizat berkata, beliau sedih mengenang keperitan dilalui wanita terlibat dan bersolidariti dengan semua kaum ibu yang berjuang dengan kes berkenaan.

"Hati saya turut pedih mengenang keperitan yang mereka lalui. Saya berdiri seiring bersolidariti dengan semua wanita Malaysia dan ibu-ibu dalam perjuangan mereka yang tidak pernah selesai untuk kes ini di Mahkamah Persekutuan dan Parlimen kelak.

"Wahai hati, tenanglah, wahai jiwa, kuatlah. Kita giat teruskan berjuang," tambahnya.

Semalam, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Responden dalam kes berkenaan adalah enam ibu warganegara Malaysia dan Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers).