Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan kepada semua ahli dan pemimpin politik agar menggunakan kebijaksanaan dan bersabar sentiasa berhemah dalam melakukan sebarang aktiviti.

Jelas Hamid, mereka perlu memahami tugas polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Saya merayu pemimpin politik lebih memahami dinamik negara ini dengan pelbagai kaum dan agama.

“Kita lihat negara maju sebagaimana kepelbagaian kaum digunakan menyatu padu, itu saya harapkan ahli dan pemimpin politik guna kebijaksanaan dan sabar tidak ada masalah yang kita tidak dapat atasi dengan cara baik.

“Berhemah dan jangan lakukan aktiviti menyakitkan hati dan mencabar pihak lain, pihak polis akan ambil pendirian dan pendekatan di tengah-tengah (adil) kita akan mengambil tindakan seadilnya demi keamanan negara,” kata Hamid dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin.

Justeru, jika isu politik yang membabitkan sensitiviti kaum dan agama dikhuatiri boleh membebankan polis.

“Isu berbau politik sungguh merugikan negara dan membebankan kami. Sabtu dan Ahad bagi warga PDRM perlukan rehat, tetapi terpaksa overtime menjaga keamanan lain. Ada juga kena standby di base, hujung tahun anak buah saya (anggota PDRM) duduk dalam trak tunggu di tempat- tempat aktiviti itu.

“Membuang masa saya dan anak buah saya, segala kekuatan PDRM digunakan untuk membanteras jenayah dan dadah bukan isu remeh. Mereka (pemimpin politik) perlu lebih bertanggungjawab, jika mereka boleh dudduk dalam Parlimen bertepuk tampar tetapi bila di luar lain pula.

“Kami mahu mereka fikir tanggungjawab PDRM berat untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat,” ujar Hamid.

Tambah Hamid, beliau berpuas hati dengan prestasi PDRM pada tahun lalu meskipun masih mempunyai ruang penambahbaikan.

Menjadi matlamat PDRM katanya untuk dihormati masyarakat pada tahun 2020 dengan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat.