KUALA NERUS: Peminjam perlu bersemuka dengan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika mereka mempunyai masalah tunggakan pinjaman.

Pengerusinya Apli Yusoff berkata, ia bagi membolehkan PTPTN membantu peminjam yang tidak mampu membayar pinjaman termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan sewaktu pandemik COVID-19.

Menurut Apli, sehingga Julai lalu lebih 2 juta peminjam atau 81.07 peratus telah membuat bayaran balik kepada PTPTN.

"Jadi kalau boleh datang, orang yang ada hutang tertunggak ini, datang berjumpa dengan PTPTN untuk menstrukturkan balik hutang-hutang itu.

"Kerana apa apabila mereka ini ada hutang tertunggak, mungkin disenarai dalam CCRIS untuk mereka ini membuat pinjaman dan sebagainya.

"Jadi datang balik berjumpa dengan PTPTN, PTPTN sedia bantu untuk menstrukturkan balik hutang-hutang tersebut," katanya.

Beliau ditemui pada Program Ramah Mesra PTPTN bersama pengamal media terengganu di Kuala Nerus pada Jumaat.

Dalam pada itu, PTPTN turut menyarankan ibu bapa agar membuat penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi menjamin masa depan anak mereka.

Menurut Apli, pelbagai manfaat dan keistimewaan ditawarkan, termasuklah pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan Takaful percuma, serta geran sepadan sehingga maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak.

Sehingga Julai, PTPTN merekodkan jumlah deposit simpan SSPN sebanyak RM12.65 bilion membabitkan 5.49 juta akaun.