Sejumlah 1.1 juta rakyat Malaysia berkelayakan masih berpeluang untuk memohon Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) untuk tahun ini.

Menurut Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam, daripada 8.2 juta pemohonan, 6.3 juta telah diluluskan sementara 1.9 juta permohonan ditolak.

Katanya, kerajaan masih memperuntukkan sejumlah 1.1 juta orang untuk bantuan tersebut dan tempoh rayuan dibuka sehingga bulan Mei bagi individu yang ditolak permohannnya sebelum ini untuk memohon semula.

"Tempoh rayuan kita tutup bulan Mei. Selepas ini, kami akan hantar surat kepada 1.9 juta pemohon yang gagal ini dan menyatakan mengapa permohonan mereka tidak dilulus serta apa yang perlu dibuat," jelasnya di Hari ini 8.

BACA: Isu BR1M-SSM: Menteri jamin tiada tercicir terima bantuan

BACA:
Jangan polemikkan BR1M dengan kaitkan SSM - Shahidan

Lokman turut menjawab persoalan dan rintihan pemohon BR1M yang mendakwa permohonan mereka gagal kerana berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, saringan dilakukan ke atas pemohon BR1M oleh 13 agensi kerajaan, termasuk SSM, untuk memastikan mereka benar-benar layak menerima bantuan tersebut.

"Ada di antara pemohon yang mendaftar dengan SSM. Kalau mereka menjalankan tanggungjawab sebelum bulan Jun untuk menyerahkan penyata akaun perniagaan, maka dia tiada masalah (untuk layak BR1M) jika pendapatan isu rumahnya di bawah RM4,000.

"Tetapi apa yang berlaku, ada di antara mereka yang berniaga dan tidak melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ada juga yang berniaga sekerat jalan dan kemudian tutup perniagaan tetapi tidak menyerahkan borang tamat perniagaan.

"Jadi, apabila SSM serahkan maklumat kepada LHDN pada bulan Ogos lepas, syarikat-syarikat didapati masih aktif. Jadi mereka perlu jelaskannya terlebih dahulu," jelasnya.

Lokman berkata pemohon yang terbatal kerana berdaftar dengan SSM tetapi masih berkelayakan untuk mendapatkan BR1M perlu kemukakan penyata pendapatan atau kewangan apabila membuat rayuan.