HULU TERENGGANU: Seorang pemuda ditemukan lemas di Sungai Kampung, Pengkalan Ajal, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hasmerra Hassan berkata mangsa, Muhammad Haikal Naim Muktar, 20, ditemukan kira-kira jam 12 tengah hari dalam keadaan terapung dengan bahagian kakinya tersangkut pada akar pokok di sungai tersebut. 

Menurut Hasmerra, mangsa dikatakan keluar ke sungai berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi tadi untuk memukat ikan sebelum ditemukan oleh sepupunya bersama seorang rakan yang turut ke lokasi yang sama.

Jelas beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa naik ke darat oleh pihak bomba dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Hasmerra berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak melakukan sebarang aktiviti di air bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.