JOHOR BAHRU: Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul dan membakar seekor anjing, dalam kejadian dua minggu lalu.

Braden Yap Hong Sheng, 19 tahun, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, Braden, selaku orang kena saman (OKS) didakwa secara kejam menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing betina berwarna coklat, pada 27 Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar jam 1.50 pagi, di hadapan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, dalam daerah ini.

Berdasarkan fakta kes, anjing berkenaan berada dalam keadaan ketakutan serta terdapat kesan lebam dan terbakar di paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri, ketika pemeriksaan fizikal dibuat pada 28 Mac lalu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd Zamri Ishak.

Sementara itu, peguam P Rajakunaseelan memohon penangguhan bagi hukuman terhadap OKS memandangkan peguam GK Sritharan yang sepatutnya mewakilinya tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 April depan sebagai tarikh untuk fakta kes serta jatuh hukum.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan hukuman boleh dijatuhkan mengikut Seksyen 29(1) akta sama

Bagi kesalahan itu, seseorang boleh disabitkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.