PASIR PUTEH: Seorang pemuda berusia 28 tahun parah selepas ditetak ketika sedang tidur bersama kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Bunut Rendang, di sini pada Jumaat.

Akibat tetakan itu, mangsa mengalami kecederaan pada lengan kiri, bahu kiri, luka di bahagian belakang badan dan pergelangan kaki kiri hampir putus dalam kejadian pada jam 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

"Sejurus menerima panggilan berkait kes tersebut, sepasukan anggota telah dihantar ke lokasi. Hasil siasatan awal, kejadian itu berlaku di dalam sebuah bilik.

"Hasil temu bual bersama saksi-saksi di tempat kejadian menyatakan, mereka telah melihat sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih dengan cermin gelap berada di hadapan rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, saksi kemudian melihat seorang lelaki bertopeng dan berpakaian hitam serta memakai sarung tangan hitam telah keluar dari rumah berkenaan sambil memberi amaran.

Beliau berkata, lelaki itu turut menunjukkan objek yang dipegang seakan-akan pistol dan mengarahkan saksi untuk masuk ke dalam rumah.

Ediansha berkata, lelaki berkenaan kemudian terus masuk dan duduk di bahagian penumpang hadapan dan kereta itu terus dipandu laju keluar dari lokasi kejadian menyebabkan saksi-saksi tidak dapat mengecam nombor pendaftaran serta sebarang tanda yang ada pada kenderaan tersebut.

"Hasil temu bual dengan teman wanita mangsa, semasa kejadian mereka sedang tidur di dalam bilik di rumah berkenaan sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang memakai penutup kepala dan muka serta memakai sarung tangan hitam sambil memegang sebilah parang di tangan kanan.

"Lelaki itu kemudian terus bertindak menetak mangsa. Selepas itu suspek telah mengambil telefon bimbit dan barang milik mangsa sebelum melarikan diri," katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkait narkotik dan jenayah harta benda.

Beliau berkata, mangsa juga masih dikehendaki bersabit kes pecah rumah melibatkan jenayah di daerah ini hasil kesan cap jari di tempat kejadian.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kes berkenaan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.