'Pemuda UMNO mahu tempoh moratorium bauksit dilanjut' - KJ

Wan Syamsul Amly
Januari 11, 2016 13:21 MYT
Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn hari ini. - Foto Bernama
Tempoh moratorium selama tiga bulan bermula 15 Januari di kawasan pelombongan bauksit wajar diteruskan sehingga penyiasatan isu itu selesai.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ia sekali gus membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu berkenaan.
Katanya, pihak tertentu juga perlu memastikan masalah di tapak bauksit melibatkan semua pihak selesai sebelum pelombongan dibenarkan beroperasi semula.
"Kita minta dilanjutkan lagi tempoh tersebut sehingga kita betul-betul dapat penyelesaian menyeluruh isu ini. Ini melibatkan kemudaratan kepada oang ramai bukan hanya dari segi soal kesihatan tetapi dari segi pencemaran alam sekitar, kesesakan jalan, kemalangan jalan, lori dan sebagainya," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengenakan tempoh moratorium selama tiga bulan bermula 15 Januari ini bagi mengurangkan pencemaran selain mencari penyelesaian lebih baik yang bersifat jangka panjang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob juga dilaporkan menggesa semua pihak agar tidak mengganggu siasatan SPRM berkaitan isu berkenaan.
Tegasnya, kebijaksanaan SPRM dalam siasatan itu tidak wajar dipertikaikan dan kerajaan negeri juga tidak mencampuri urusan siasatan berkenaan, kerana mahu penyiasatan yang telus.
#Adnan Yaakob #bauksit #Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Khairy Jamaluddin #Kuantan