SHAH ALAM: Pemuda UMNO menyindir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyifatkan kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada pengguna di negara ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, kenyataan yang dibuat itu bermakna Ahli Parlimen Pasir Puteh itu ‘sudah mati rasa.’

“Apabila ada menteri mendakwa ‘harga barang bukan masalah besar’, buat pula perbandingan dengan negara luar, itu maknanya sudah mati rasa!” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Nik Muhammad Zawawi sebelum ini dilapor menyifatkan kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada pengguna di negara ini.

Beliau berkata, situasi rakyat negara ini lebih baik, berbanding rakyat di negara lain yang dikatakan lebih teruk.

“Oleh demikian, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada mereka (pengguna). Berbanding dengan rakyat dari negara lain, mereka di sana lebih teruk keadaannya daripada kita.

“Dalam kes kita, kerajaan kita masih mempunyai keupayaan untuk membantu rakyat dan kita akan terus mencari jalan untuk membantu rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memberi subsidi bagi membantu rakyat.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian