Pemuda UMNO tidak setuju kenaikan tarif elektrik

Wan Syamsul Amly
Disember 4, 2013 03:26 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan kerana ia dilihat hanya akan menguntungkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata peningkatan tarif elektrik itu bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api tetapi juga "menambahkan laba keuntungan TNB".
"Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
"Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata," tambahnya.
Dalam ucapannya, Khairy turut mengingatkan TNB dan GLC-GLC lain supaya janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
"Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa," katanya.
Pada Isnin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014.
Kenaikan tarif eletrik itu mendapat bantahan banyak pihak antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menyifatkan pengenalan tarif baharu elektrik itu sebagai tidak munasabah.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tarif baharu elektrik tersebut akan menyebabkan kos-kos lain yang bersangkutan dengannya turut meningkat.
Selain membantah kenaikan tarif elektrik, Khairy Khairy berkata Pemuda UMNO juga mendesak agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbukti bersalah dalam mengurus aset atau perbelanjaan negara seperti yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara.
Katanya, Pemuda UMNO juga mahu agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera.
"Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.
"Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya," katanya.
Khairy juga menegaskan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini.
"Jangan sesekali ada yang mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa. Ini suatu penjarahan terhadap kedaulatan serta maruah negara kita.
"Lantaran itu, Pemuda menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan," jelasnya.
Beliau juga menegaskan Pemuda UMNO juga memohon agar kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk menambah jumlah rumah trasnit menerusi Program rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin.
#GLC #Pemuda UMNO #tarif elektrik #Tenaga Nasional Berhad