KUALA LUMPUR: Program Pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan harus menjurus kepada pengukuhan perpaduan dalam kalangan anggotanya bagi memastikan kerajaan sedia ada diyakini mampu memberikan keyakinan dan berkesan.

Selain itu, pemukiman berkenaan juga perlu dijadikan platform terbaik kepada setiap kementerian dalam memperincikan setiap dasar yang diamalkan ketika ini.

Demikian pendapat disuarakan penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Sivamurugan Pandian mengulas program tersebut yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada Ahad.

“Sesi pemukiman selalunya diguna pakai untuk membolehkan kita memahami apakah bentuk prestasi yang dirancang, keberkesanan setiap kementerian, agensi atau jabatan, bentuk kepimpinan.

"Dan akhirnya, sudah pasti, ia juga memberikan input dari sudut pelaksanaan, pemantauan, pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” kata Sivamurugan kepada Astro AWANI.

BACA: Pemukiman Menteri: Dilaksana bagi perkukuh, mantapkan kesepakatan, kesepaduan Kerajaan Perpaduan 

BACA: PM, menteri sertai pemukiman, bincang hala tuju negara

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri semalam, program tersebut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menyampaikan taklimat pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri.

Difahamkan, sesi terbabit bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang.

Sementara itu, jelas Sivamurugan lagi, selepas mengharungi tempoh dua bulan kerajaan dibentuk, setiap menteri yang dilantik perlu memberi fokus yang jelas terhadap naratif dan arah tuju dasar yang diterapkan.

Rakyat ketika ini, katanya, sudah sampai pada peringkat untuk membuat penilaian terhadap setiap prestasi ahli jemaah menteri.

Selain itu juga, katanya, dalam mendepani cabaran yang menanti, kerajaan harus bersikap realistik dan kini bukan lagi masa untuk retorik.

Pemukiman | Medan terbaik perkukuh hubungan anggota Kabinet

Sivamurugan turut memberi pandangan beberapa isu yang mungkin dibincangkan pada sesi pemukiman tersebut, paling utama berhubung kos sara hidup.

"Hampir kesemua manifesto blok kerjasama memperihalkan isu kos sara hidup, bermakna, ia sudah menjadi isu besar.

“Yang kedua, isu pendidikan. Yang ketiga, isu tentang makanan. Dan yang keempat, isu yang berkaitan kaum wanita dan belia.

"Saya percaya, setiap isu itu akan dilihat dan diselaraskan bagi mencari titik persamaan supaya ia tidak lagi dianggap ada kepentingan politik kepartian," katanya lagi.

Beliau juga melihat pemukiman yang dilakukan wajar diadakan secara berkala selepas ini.

Ia jelasnya membolehkan segala penilaian secara terperinci dibuat pada setiap dasar selain laporan prestasi semasa setiap anggota kabinet kerajaan untuk dinilai Perdana Menteri.