PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PSU 4.0 itu dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja. 

"Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan.

"Dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti," jelasnya.

Muhyiddin berkata, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan dalam inisiatif kali ini.

"Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah RM4,000 sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000," katanya lagi.

Ujarnya sejak PSU diperkenalkan, kerajaan telahpun membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut mengumumkan pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan yang akan diberikan secara automatik kepada majikan yang tidak beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.

"Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021.

"Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak RM425 juta," jelas Muhyiddin lagi ketika mengumumkan Pakej PEMULIH pada Isnin.