KUALA LUMPUR : Keputusan untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis dilihat sebagai cerminan kepada solidariti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu menunjukkan kematangan pemimpin UMNO yang mengutamakan kesepakatan demi satu matlamat iaitu bagi memastikan parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO dapat membentuk kerajaan yang stabil demi kemakmuran negara.

"UMNO Sabah menerima baik cadangan ini dan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap keputusan parti yang menamakan Ismail sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15," katanya pada Jumaat.

Menurut Bung yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, solidariti ini mencerminkan sikap pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti melebihi daripada kepentingan peribadi.

"Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar pada masa hadapan politik Malaysia.

"UMNO berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bercelaru dalam  menamakan calon Perdana Menteri mereka selepas PRU15 kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan negara," ujarnya lagi.

Bung menambah, keputusan MKT UMNO ini memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merencanakan agenda bagi memenangi hati dan minda rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO atau BN pada PRU15 nanti.

Sehubungan dengan itu, katanya kepimpinan UMNO di semua peringkat kini perlu lebih fokus untuk menyusun jentera dan gerak kerja parti bagi memastikan kemenangan parti itu atau BN.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menjelang PRU15.