Penangguhan Mesyuarat Khas Parlimen membelakangi kenyataan media Istana Negara - Pembangkang

Ahmad Khairol Shafizan Johari
Ogos 1, 2021 16:06 MYT
Selain Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenyataan media media berkenaan turut ditandatangani Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang bersama pemimpin parti pembangkang menyatakan kekesalan dan bantahan atas tindakan kerajaan menangguhkan Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya berakhir esok, walaupun kes positif COVID-19 di Parlimen hanya pada kadar 0.9 peratus.
Mereka menyifatkan keputusan itu sebagai membelakangi kenyataan media Istana Negara serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan penangguhan ini langsung tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, proses Demokrasi Berparlimen dan terus membelakangi kenyataan media Istana Negara,” jelas mereka dalam satu kenyataan.
BACA: Risiko penularan di Parlimen tinggi, KKM cadang gantung mesyuarat dua minggu
Dr Noor Hisham jelaskan sebab penutupan Parlimen
Selain Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenyataan media media berkenaan turut ditandatangani Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Turut menandatangani kenyataan berkenaan ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui telah mengemukakan beberapa cadangan antaranya untuk menangguhkan Mesyuarat Khas Parlimen susulan kes jangkitan di Parlimen.
"Dicadangkan supaya sidang hendaklah dihentikan serta merta sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan di kalangan individu yang hadir di Parlimen,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
#Mesyuarat Khas Parlimen #Perdana Menteri #letak jawatan #Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim #Penangguhan #Sidang Parlimen #COVID-19 #Istana Negara