Penangguhan Pemilihan UMNO dianggap peluang untuk jentera parti melakukan penambahbaikan bagi menguruskan hal dalaman parti, mengukuh sokongan dan menyusun gerak kerja menjelang pilihan raya umum.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika ditanyakan tentang reaksi terhadap pengumuman penangguhan tersebut.

“Bagus,” kata beliau. “Penangguhan itu membuatkan semua pihak sedar bahawa kuasa untuk menangguhkan pemilihan adalah dalam tangan Majlis Tertinggi.

Begitupun, kata beliau, adalah penting untuk UMNO memberi penjelasan di peringkat akar umbi tentang sebabnya.

“Bagi pihak biro yang saya pengerusikan, tentu sekali kita menerima baik perkara itu kerana kami perlukan masa untuk mengumpulkan maklum balas seterusnya membuat penambahbaikan yang diperlukan kepada perlembagaan,” ujar Ahli Parlimen Sembrong itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO di ibu pejabat parti tersebut.

Biro itu hari ini memutuskan empat langkah utama yang disifatkan sebagai tindakan proaktif kepada rintihan akar umbi parti, sekali gus dilihat dapat memperkemas urusan dalaman dan mengukuhkan jentera dalam menghadapi pilihan raya umum.

Empat langkah itu adalah mengambil kira usul bahagian-bahagian, soal pemilihan parti, keahlian dan pengupayaan perhubungan negeri.

"Penangguhan yang diumumkan Presiden parti sebenarnya melegakan saya kerana ini peluang untuk melakukan penambahbaikan selain memberi fokus kepada gerak kerja menjelang PRU-14.

Jelas beliau yang juga Menteri Pertahanan, UMNO kali ini mengambil tindakan susulan terhadap usul yang datang dari peringkat bahagian dengan menjawab isu-isu yang dibangkitkan.

"Dari aspek pemilihan parti, kami telah turun padang untuk mengenal pasti usaha penambahbaikan terhadap perlembagaan parti selain memperkemaskan Jawatankuasa Pemilihan," ujar beliau.

Sementara itu dari aspek keahlian, biro tersebut akan memperteguh pentadbiran dan juga menambah baik proses pemutihan parti.

"Biro ini juga mahu mengupayakan perhubungan negeri agar mempunyai hak dan kuasa untuk memutuskan hal-hal berhubung keahlian, tindakan disiplin serta perkara-perkara lain yang khusus untuk negeri.

"Daripada semua ini saya berharap perkara-perkara yang dibangkitkan dapat dibawa ke Majlis Tertinggi seterusnya dibincangkan dalam Mesyuarat khas UMNO," ujar beliau.