KUCHING: Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan masalah besar, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Mengulas mengenai isu tersebut, Abang Johari berkata, beberapa perkara dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan memerlukan pengesahan termasuk takrifan ‘Persekutuan’.

"Ia sebenar tiada masalah cuma saya difahamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar beberapa perkara di dalam Artikel 160 mengenai dengan definisi Persekutuan.

"Mereka hanya mahu mengesahkan beberapa perkara, itu sahaja... tiada masalah besar mengenainya (penangguhan pembentangan). Ini merupakan perkara yang perlu difahami menerusi penerangan yang dibuat oleh Peguam Negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis memorandum antara kerajaan negeri dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu di Kuching pada Rabu.

Mengulas jangkaan tarikh baharu RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Abang Johari berkata perkara itu akan diumumkan oleh menteri bertanggungjawab.

Pada 25 Oktober lalu, Wan Junaidi dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pembentangan RUU tersebut ditangguhkan sementara waktu.

Penangguhan itu bertujuan untuk membolehkan Peguam Negara menjelaskan cadangan pindaan kepada anggota Kabinet dengan teliti sebelum dibentang ke Parlimen.

Terdahulu, RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaporkan akan dibentang di Dewan Rakyat pada 26 Oktober lalu untuk bacaan kali pertama.

Pindaan dibuat bagi mentakrifkan semula kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sebagai rakan sekutu. Ia melibatkan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.