KUALA LUMPUR: Keputusan penangguhan sementara ibadah umrah seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, terus mendapat reaksi agensi pengendali umrah.

Terbaharu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) tampil dengan beberapa cadangan bagi membantu mengelakkan pengendali umrah menutup operasi akibat kegagalan membayar tuntutan bayaran kepada jemaah.

"Kos pembatalan atau penangguhan tiket penerbangan, hotel penginapan dan caj bayaran visa umrah kepada muasasah di Arab Saudi perlu ditanggung oleh pengendali umrah.

"Visa umrah yang dikeluarkan biasanya hanya diberikan tempoh sah laku selama sebulan dan penangguhan tanpa tempoh masa. Dibimbangi visa ini perlu diperbaharui dengan kos tambahan kepada jemaah.

"Begitu juga kos kuarantin di pusat kuarantin seperti yang diarahkan oleh kepada semua jemaah yang tiba di tanah air bermula 3 Januari. Ia merupakan kos tambahan yang perlu ditanggung jemaah umrah," kata Presidennya, Harun KC Ahmmu dalam satu sidang media, pada Isnin.

Justeru, Bumitra mencadangkan caj pembayaran kuarantin hotel ditetapkan pada kadar RM150 sehari bagi meringankan beban jemaah.

"Kita juga memohon caj pembayaran pusat kuarantin atau hotel RM150 sehari bagi setiap jemaah untuk meringankan beban tanggungan jemaah kerana kos yang ditetapkan pada masa ini antara RM250 hingga RM300 amat tinggi," jelasnya.

Beliau juga menggesa penambahbaikan proses saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pengendalian khusus jemaah umrah warga emas bagi mengelak kesesakan di kaunter saringan.

Bumitra, tambahnya, sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan varian Omicron.

Sabtu lalu, Khairy mengumumkan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.