PUTRAJAYA: Penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi, menjadikan masa perjalanan lebih lama merupakan antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing selain menjejaskan kualiti perkhidmatannya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata selain itu beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum COVID-19 melanda negara.

Katanya kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Dalam masa sama, katanya fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lepas juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing dan dalam tempoh sama juga menyaksikan pergerakan bebas orang ramai bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian secara normal, turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

"Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing (EHO) merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran. Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini berhubung isu kenaikan tambang e-hailing.

BACA: Kenaikan tambang: Syarikat perkhidmatan e-hailing dipanggil beri penjelasan - Menteri

Wee berkata dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj serta menjelaskan kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

"EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka," katanya.

Wee berkata perbincangan antara Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan EHO baru-baru ini, EHO telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna," katanya.

Wee berkata lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan angka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

Beliau berkata kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna dan kerajaan akan terus memantau industri e-hailing bagi memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

-- BERNAMA