KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas sebuah premis yang disyaki menyebabkan insiden pencemaran bau diesel di sepanjang Sungai Semenyih.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan berkata perintah itu dikeluarkan selepas siasatan ke atas premis di sepanjang Sungai Semenyih terutama di Kawasan Perindustrian Beranang, Selangor dijalankan.

Beliau berkata sampel campuran minyak serta air daripada premis itu turut diambil untuk siasatan lanjut.

"Tindakan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dilakukan setelah memperoleh keputusan analisis kimia.

"Jika didapati bersalah, pihak premis boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan sehingga RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan," katanya dalam kenyataan Rabu malam.

Wan Abdul Latiff berkata jabatan itu akan meneruskan siasatan dan pemeriksaan ke atas semua premis yang berpotensi melakukan pencemaran tersebut serta tindakan tegas akan diambil ke atas premis yang menyebabkan pencemaran.

"Pemberi maklumat boleh diberi ganjaran di bawah Seksyen 48B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga tertangkapnya pelaku ini dan pemberi maklumat diberi perlindungan di bawah Seksyen 50A akta yang sama," katanya.

Pada 1 Mei lepas, JAS menerima aduan pencemaran bau diesel di sepanjang Sungai Semenyih dan susulan itu Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas pada Selasa.

-- BERNAMA