KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas akibat pencemaran bau kini mencapai tahap 66 peratus.

Melalui ciapan terbaharu di laman Twitter, Air Selangor memaklumkan, kadar pemulihan secara berperingkat itu direkodkan setakat jam 7 malam Rabu.

"Sehingga jam 7.00 malam, pemulihan bekalan air di 463 kawasan yg terjejas telah mencapai tahap 66 peratus.

"Senarai kawasan yang masih belum pulih boleh didapati di http://airselangor.com atau IG Instastory dan FB Story," kata Air Selangor.

Info grafik dikongsi Air Selangor menunjukkan lima daerah terjejas sudah mula kembali pulih secara berperingkat iaitu di Hulu Langat (90.7 peratus), Sepang (81.6 peratus), Putrajaya (82.6 peratus), Petaling (37.2 peratus) dan Kuala Langat (75 peratus).

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.