KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 organisasi yang terlibat dalam industri teknologi operasi (OT) di Malaysia terjejas dari segi operasi berikutan pencerobohan siber, demikian menurut syarikat keselamatan siber global Fortinet.

Pengurus Negara Fortinet Malaysia Dickson Woo berkata jumlah tersebut mewakili 100 peratus daripada organisasi OT di Malaysia yang terlibat dengan kajian dalam Laporan Teknologi Operasi dan Keselamatan Siber Global 2022 terkini syarikat itu yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu menunjukkan bahawa semua organisasi OT yang dikaji mengalami sekurang-kurangnya satu pencerobohan dalam tempoh 12 bulan lepas dengan tiga kategori pencerobohan tertinggi seperti emel memancing data, perisian hasad dan pelanggaran orang dalam.

"Sebanyak 76 peratus daripada organisasi tempatan turut berdepan kebimbangan yang ketara mengenai perisian tebusan dalam persekitaran OT.

"Dapatan yang membimbangkan ini menyebabkan terdapat keperluan mendesak kepada organisasi tempatan untuk menilai semula strategi keselamatan siber mereka dan mengguna pakai amalan terbaik industri," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat di sini hari ini.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa 59 peratus daripada organisasi tempatan dalam tinjauan itu mengalami gangguan operasi yang menjejaskan produktiviti.

Sehubungan itu, sebanyak 92 peratus daripada organisasi OT di Malaysia mengambil masa beberapa jam untuk kembali beroperasi, manakala sebahagiannya lagi mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk pulih.

Woo berkata Fortinet komited untuk melindungi rakyat Malaysia daripada kemunculan ancaman keselamatan siber untuk perniagaan generasi akan datang yang berdaya tahan.

"Sebagai syarikat keselamatan siber, kami bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk mewujudkan beberapa bentuk kerjasama atau strategi mengenai perkara yang sesuai dilaksanakan untuk menghindari pencerobohan sedemikian," katanya.

-- BERNAMA