JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayinya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia yang bekerja sebagai pencuci kapal telah melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian terhadap Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan Hans Mohamad Thaqeef Mohamad Amir Nazri, 2 bulan.

Kejadian itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, pada jam 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu.

[TERKINI] Suami didakwa bunuh isteri dan bayinya


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati sekiranya didapati bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BACA: Selepas kelar isteri, bayi 3 bulan sehingga maut lelaki berbogel naik motosikal

BACA: Suspek kelar bayi, isteri lepas pantang tidak pernah timbul masalah - Jiran

Mohd Zulhilmi kemudian memerintahkan tertuduh dibawa ke Hospital Permai bagi mendapatkan penilaian kesihatan mentalnya hari ini.

18 Ogos ditetapkan sebagai tarikh untuk serahan laporan bedah siasat, DNA dan psikiatri.

4 Julai lalu, seorang isteri dan bayinya dilaporkan mati dipercayai dikelar suaminya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan di Permas Jaya, Johor Bahru beberapa jam selepas melarikan diri dalam keadaan bogel dengan menunggang motosikal.