PUTRAJAYA: Pendaftaran calon bagi Anugerah Saintis Muda Negara 2022 dan Anugerah Juruteknik (Sains) Negara 2022 telah dibuka secara dalam talian, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI berkata Anugerah Saintis Muda Negara yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Sains Hayat dan Sains Fizikal adalah terbuka kepada saintis warganegara Malaysia di bawah umur 35 tahun.

"Saintis perlu menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan di pusat penyelidikan dan institusi pengajian awam atau swasta di Malaysia," kata MOSTI dalam kenyataan hari ini.

Anugerah Juruteknik (Sains) Negara 2022 adalah terbuka kepada juruteknik (sains) warganegara Malaysia dan semi profesional seperti juruteknik atau pembantu makmal serta kakitangan separa ikhtisas yang berkaitan dengan sains dan teknologi, dan mereka juga perlu menjalankan projek penyelidikan di pusat penyelidikan awam atau institusi swasta di Malaysia.

Pemenang Anugerah Saintis Muda Negara 2022 akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 plak, sijil penghargaan dan geran penyelidikan MOSTI bernilai sehingga RM1 juta untuk setiap kategori, manakala pemenang Anugerah Juruteknik (Sains) Negara akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000, plak dan sijil penghargaan.

Pendaftaran calon bagi kedua-dua anugerah tersebut boleh dibuat menerusi pautan https://www.mosti.gov.my/pengumuman-bergambar/anugerah-saintis-muda/.

"Inisiatif penganjuran anugerah dan pengiktirafan ini merupakan satu langkah positif dalam mendorong saintis muda agar tampil dengan hasil penyelidikan masing-masing yang berpotensi untuk diketengahkan," kata MOSTI.

-- BERNAMA