IPOH: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai, di sini, pada Ahad, memberi tumpuan kepada kemungkinan petunjuk lain seperti hurungan lalat dan bau.

Timbalan Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, operasi yang memasuki hari ketiga itu lebih meneliti kepada kawasan pencarian yang melibatkan laluan sejauh 1 kilometer (km) di kawasan kejadian.

“Gerak kerja hari ini lebih kepada memerlukan peralatan seperti cangkul dan skop. Ini kerana kita mengesyaki mangsa yang terlibat berada di bawah lumpur dan juga timbunan kayu yang dibawa kepala air.

“Ini juga berdasarkan kepada pemerhatian pasukan keselamatan yang menjumpai anggota badan mangsa yang berada di bawah lumpur dan timbunan kayu.

“Di samping itu, kita juga melihat kepada kemungkinan petunjuk lain seperti hurungan lalat atau langau. Mungkin lalat atau langau itu akan tertumpu juga kepada bau itu (mangsa),” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini, hari ini.

Ujar beliau, operasi pada hari ini dimulakan pada jam 9 pagi membabitkan dua kumpulan seramai 63 anggota daripada pelbagai pasukan dan agensi.

Antara terlibat selain JBPM ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Jabatan Perhutanan Negeri, Unit Anjing Pengesan (K9) serta dibantu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) dari Selangor.

Foto Astro AWANI

“Operasi SAR hari ini masih dipecahkan kepada dua pasukan, cuma memandangkan laluan di atas itu agar sukar, jadi kita lebih fokus kepada bahagian bawah terlebih dahulu.

"Satu pasukan akan difokuskan kepada pencarian betul-betul di laluan kepala air di bawah dan satu lagi terus menjurus kepada lokasi penemuan yang mana kita jumpa sebahagian anggota mangsa semalam,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Umrani memberitahu, setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Semalam media melaporkan operasi SAR dua pendaki wanita itu terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang ekoran cuaca hujan lebat.

Penolong Pengarah Operasi, JBPM Negeri, Muhamad Shahrizal Aris dilaporkan berkata, hujan lebat sejak tengah hari memberi risiko terhadap keselamatan pasukan penyelamat.

Terdahulu, pasukan penyelamat menemui anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang pendaki wanita berkenaan.

Bahagian kaki kiri itu ditemui kira-kira jam 5.05 petang pada Ahad manakala separuh badan bahagian manusia dijumpai dalam timbunan tanah kira-kira jam 10.20 pagi Isnin.

Media sebelum ini melaporkan dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini pada Ahad, dikhuatiri dihanyutkan kepala air.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32 tahun, dan Ng Yee Chew, 46 tahun, masing-masing dari Cheras dan Klang.