PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, semasa dihubungi, mengesahkan notis rayuan difailkan hari ini.

Pada 28 Okt, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Shafee Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap peguam itu di akhir kes pendakwaan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tidak ada langsung keterangan menunjukkan wujudnya perlakuan predikat (aktiviti haram) dan daripada mana wang tersebut diperoleh.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad dikeluarkan Najib yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Mahkamah | Muhammad Shafee lepas, bebas kes LHDN dan ubah wang haram


Muhammad Shafee dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Peguam itu juga didakwa terhadap dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

-- BERNAMA