KUALA LUMPUR : Malaysia perlu meningkatkan lagi usaha memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai cara berkesan untuk mengurangkan atau berhenti merokok.

Presiden Persatuan Insaf Murni Malaysia, Dr Khafidz Mohd Ishak berkata, usaha ke arah itu masih kurang di sebalik pelaksanaan penguatkuasaan dan strategi tertentu.

"Kita telah melaksanakan banyak strategi tetapi yang mengawalnya ialah penawaran dan permintaan dalam merokok.

"Walaupun langkah seperti menaikkan cukai dan penguatkuasaan terhadap pengiklanan serta promosi dilakukan, tetapi apa yang kurang adalah mengenai pendidikan.

"Ia bermakna, terdapat kekurangan dalam mendidik orang ramai tentang bahaya merokok.

"Dan kita juga tidak mendidik mereka tentang cara kurangkan merokok atau berhenti merokok," katanya ketika hadir pada persidangan bertajuk 'Evolving Treatment Methodologies In Addiction Conference 2022' di sini pada Sabtu.

Khafidz juga mencadangkan agar program pendidikan bahaya merokok diperluaskan lagi di platform media pada ketika ini agar mesej itu sampai kepada generasi muda khususnya.

"Di negara kita, perokok selalu dinasihatkan untuk berhenti merokok, namun tiada mesej atau pendidikan bagi tindakan susulan untuk memastikan mereka mengambil langkah terbaik bagi berhenti merokok.

"Jadi dengan tiadanya pendekatan toleransi ini, saranan supaya perokok berhenti merokok tidak berhasil," katanya lagi.

Justeru, beliau melihat cara yang lebih lembut seperti mencadangkan terapi tabiat merokok dan kaunseling kepada perokok atau pengenalan ubat yang sesuai untuk mereka.

"Pada 2011, 23 peratus penduduk merokok di negara ini. Pada 2019, selepas 8 tahun, smoking prevalence ialah 21 peratus. Pengurangan kurang dua peratus dalam tempoh lapan tahun ini.

"Jadi, kalau hanya penguatkuasaan dilakukan, ia tidak akan membantu di negara kita," ujarnya.