KUALA LUMPUR: Perniagaan dalam dunia digital sudah tentu perkara yang diidamkan setiap usahawan di negara ini.

Lebih-lebih lagi apabila dunia tanpa sempadan membuka lebih banyak peluang dalam mengembangkan  sayap perniagaan masing masing.

Bagi Ketua Pegawai Teknologi Carsome, Vishnu Nambiar, kejayaan yang ditempa syarikat itu sehingga menjadi syarikat pemula (unicorn) teknologi terbesar di Malaysia adalah kerana berlandaskan perniagaan digital.

"Apa yang saya selalu tekankan adalah fokus dalam mengetahui apa kemahuan pelanggan, bukannya kemahuan kita, tetapi pelanggan.

"Ini amat penting dalam perniagaan digital, jika kita tahu apa pelanggan mahu, segalanya akan mengikut pelan yang dirancang," jelasnya.

Tambah Vishnu, pandemik COVID-19 secara tidak langsung mempercepatkan transformasi perniagaan digital di negara ini.

Justeru, setiap perniagaan perlu mengambil peluang yang ada dalam meneroka perniagaan digital yang lebih luas.

"Banyak perniagaan yang perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 adalah pemangkin kepada transformasi perniagaan digital.

"Adaptasi dengan teknologi ketika ini sangat tinggi, merentasi pelbagai sektor perniagaan.

"Saya berpendapat, menerusi data dan teknologi, anda boleh mengetahui apa yang dimahukan pelanggan, meningkatkan kecekapan sesuatu perniagaan," jelasnya lagi.

Platform e-dagang kereta bersepadu di Asia Tenggara

Ujarnya lagi, meskipun kini menjadi platform e-dagang kereta bersepadu di Asia Tenggara, syarikat itu akan terus meneroka dunia digital untuk pelanggan.

"Kami berada di pasaran tepat pada masanya. Saya fikir, kami telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan konsep digital kepada pelanggan.

"Dari sudut perspektif teknologi, kami juga telah menyediakan aplikasi mudah alih buat pelanggan membuat pembelian kenderaan terpakai secara dalam talian.

"Fokus kami ketika ini adalah perjalanan sedia ada sekarang - bagaimana kita meneruskan pendigitalan?Masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan bertajuk 'Bagaimana Pendigitalan Mengubah Cara Membeli dan Menjual Kereta?' pada webinar dan persidangan Astro AWANI LINC pada Jumaat.

Kisah yang dikongsi Vishnu boleh diambil perhatian oleh para usahawan lain dalam meneroka dunia digital.

Pada masa sama, persidangan itu turut menampilkan Ketua Pegawai Komersil TNG Digital Sdn Bhd Danny Chua, yang membincangkan evolusi perniagaan tanpa tunai.

Di samping itu, bagi menggalakkan kaum hawa terus berdaya saing dalam perniagaan, Reboot Now menjemput Ketua Pegawai Eksekutif Naelofar Mohd Aqief Mohd Noor untuk membicarakan usaha pihaknya membantu golongan tersebut melangkah lebih maju dalam dunia perniagaan.

Antara lain, persidangan tersebut turut mengetengahkan idea bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memaksimumkan penggunaan teknologi dan sesi bengkel untuk pemantapan bisnes yang diselarikan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Orang ramai masih berpeluang untuk mengikuti persidangan Reboot Now dan mendapatkan pelbagai pakej menarik di https://www.linc.astroawani.com/rebootnow2022.

Jom daftar dan rancakkan bisnes anda sekarang!