DUNGUN: Penduduk di Hulu Dungun, Terengganu, kini bersiap sedia untuk menghadapi banjir gelombang ketiga yang dijangka melanda kawasan itu tidak lama lagi.

Ia susulan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di negeri itu bermula 31 Disember ini.

Menurut penduduk di Kampung Shukor, meskipun masih terkesan dengan dua gelombang sebelum ini, mereka kini lebih berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca semasa.

Katanya lagi, sekiranya berlaku peningkatan paras air sungai, mereka akan berpindah lebih awal ke tempat selamat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bimbang peristiwa banjir besar sebagaimana tahun 2014 berulang kembali, barang-barang yang disimpan di tempat tinggi hanya akan diturunkan pada bulan Februari selepas musim tengkujuh tamat.

"Sekarang ini barang yang sudah disimpan itu , tidak akan dibawa turun lagi, masih disimpan lagi.

"Biasanya dalam bulan dua baru kita angkat turun, selepas Tahun Baharu Cina," kata pemandu bot, Tengku Ibrahim Tengku Jaafar.

Menurut pekerja buruh, Tengku Rosman Tengku Jaafar, walaupun keadaan banjir kali ini tidak dijangka seburuk yang berlaku pada 2014, penduduk tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kita sudah kena teruk masa tahun 2014 lalu. Selepas kejadian itu, banjir tidak seburuk itu lagi, tiada yang besar lagi," katanya.

Aras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dijangka melepasi paras bahaya pada 30 hingga 31 Disember ini.

Antara kawasan yang berisiko mengalami banjir di Daerah Dungun termasuklah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu, Kampung Minda, Kampung Jerangau dan Kampung Kuala Jengai.