KUALA TERENGGANU: Lebih 5,000 penduduk di Hulu Dungun menggesa pihak berwajib agar segera menyelesaikan masalah jalan mendap dan berlubang di Kilometer 10, Jalan Tepus-Pasir Raja.

Penduduk mendakwa, mendapan sering berlaku di laluan terbabit sejak 2014, bagaimanapun, pihak berkuasa hanya menampalnya.

Kali terakhir dibuat tampalan, kata mereka, adalah pada 30 Ogos lalu.

Menurut penduduk, masalah mendapan yang berlanjutan hampir tujuh tahun itu dilihat semakin ketara hingga membentuk lubang besar seperti kawah, dengan kedalaman satu hingga lima meter di kedua-dua laluan utama kawasan tersebut.

Susulan itu, mereka terpaksa menggunakan jalan alternatif Bukit Besi-Rantau Panjang yang terletak kira-kira 30 kilometer dari laluan berkenaan untuk ke pusat bandar.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Dungun, Anuar Awang ketika dihubungi berkata, masalah tersebut kini di peringkat menunggu kelulusan untuk kerja-kerja pembaikian dan baik pulih jalan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melalui kawasan yang ditutup bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.