DUNGUN: Banjir yang melanda Terengganu menyebabkan berlakunya mendapan dan runtuhan jalan sedalam dua meter di laluan Jerangau-Jabor di Dungun.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di beberapa kampung di kawasan berkenaan mengalami kesukaran untuk ke stesen minyak berdekatan mahupun ke bandar Dungun.

Antara kampung terbabit termasuk Kampung Paya Lawas, Kampung Dendang dan Kampung Jerangau.

Jelas Zukria Yaakub, penduduk bimbang sekiranya tindakan segera tidak diambil dikhuatiri keadaan akan menjadi semakin memburuk dan membahayakan pengguna jalan raya.

"Di sini biasanya lori besar banyak lalu tetapi sekarang ini mereka boleh buat pilihan. Kalau tak nak naik lebuh raya, dia lalu ikut jalan Kampung Wa.

"Kita bimbang akan runtuh lagi, tapi pengguna ini bila diletak batu untuk halang lalu lintas, dia alih dan lalu juga. Saya tengok sendiri dia alih batu block ini.

"Sebenarnya bila sudah letak batu block ini, semua kenderaan tak boleh lalu tapi dia alih juga, pengguna sanggup ambil risiko," katanya.

Bagi pemandu lori, Shamsul Azmi Ghazali, pihak berkaitan diminat mempercepatkan membaiki jalan ini kerana ia merupakan laluan utama.

"Sekarang ini menjadi masalah kepada penduduk. Nak pergi ke Dungun jauh, kena melalui jalan utama Kampung Wa.

"Kita takut runtuh lagi sebab gelonggong banyak dah bawah itu. Tapi terpaksa lalu juga kerana untuk nak isi minyak dekat. Dia sanggup ambil risiko," katanya.

Dalam pada itu, mereka berharap pihak berwajib dapat segera menyelesaikan masalah itu bagi kemudahan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Sementara itu, penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Dungun bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut.