JOHOR BAHRU: Lebih 500 pembeli merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah rumah mereka yang terbengkalai sejak hampir 20 tahun lalu di Flat Taman Mount Austin di sini.

Mereka mendakwa, perancangan awal melibatkan pembinaan 911 unit rumah jenis kos sederhana rendah membabitkan 10 blok, namun setakat ini hanya empat blok yang siap dibina dan sudah didiami penduduk.

Pembeli rumah blok 3, Lihayati Abdul Rahman, 48, berkata, apa yang mengecewakan pihak pemaju tidak meneruskan kerja-kerja pembinaan di blok 3, 5 dan 7 yang melibatkan seramai 292 pembeli.

"Saya bersama suami, Azmi Othman, 50, membeli rumah flat kos rendah ini pada tahun 2002 dengan harga RM50,000.

"Rumah ini sepatutnya siap pada tahun berikutnya terus tertangguh dengan pelbagai alasan yang diberikan.

"Kali terakhir kami berhubung dengan pihak pemaju sebelum pandemik COVID-19 melanda, mereka memberi alasan bahawa pembinaan bagi tiga blok itu yang menempatkan 292 unit rumah tidak akan diteruskan kerana tiada pembeli," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz meninjau kawasan flat berkenaan pada Jumaat.

Katanya, alasan itu tidak munasabah sedangkan mereka sudah banyak kali mendesak pemaju dan sepanjang hampir 20 tahun itu, ramai pembeli kecewa hingga berpindah ke tempat lain dan ada yang meninggal dunia menunggu rumah mereka disiapkan.

"Nasib saya agak baik apabila menyedari projek ini menjadi projek sakit dan bermasalah, saya sempat membatalkan pinjaman bank," katanya.

Suri rumah itu bagaimanapun tetap mahu menuntut rumah itu disiapkan kerana telah mendapat surat tawaran memiliki kediaman tersebut malah sudah menjelaskan bayaran deposit sebanyak RM4,500.

Katanya, pemaju pernah menawarkannya untuk membeli unit di blok lain, namun dia menolaknya kerana pernah berlaku isu pertindihan nama pemilik.

Suhaini Mat Isa, 45, pula berkata, bukan sahaja enam blok yang terbengkalai, empat blok yang sudah didiami penduduk turut mempunyai masalah.

Jelasnya, antara masalah yang dihadapi penduduk ialah kebocoran, tidak diselenggara serta berlaku pemotongan bekalan air dan elektrik.

"Masalah kebocoran ini berlaku pada tahun pertama kami tinggal di sini. Walaupun aduan sudah dibuat, namun tiada tindakan susulan," katanya.

Sementara itu, Amira Aisya berkata, pihaknya akan membantu penduduk di kawasan itu bagi mencari titik penyelesaian dengan pemaju.

Kerajaan negeri juga katanya, digesa menjadi perantara melibatkan penduduk dengan syarikat pemaju bagi membela nasib pembeli yang terkesan.

Dalam pada itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, isu tersebut adalah di bawah kuasa Jabatan Perumahan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

"Projek ini dikategorikan 'sakit' dan terbengkalai, bagaimanapun saya akan dapatkan maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi. -Sinar Harian