Operasi penerbangan dari Kuala Lumpur–Ipoh–Guangzhou di China akan bermula pada minggu pertama November ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing berkata, keputusan itu dibuat syarikat penerbangan swasta, Scanda Sky selepas mengambil kira pelbagai aspek komersial.

Menurutnya, salah satu faktor yang diambilkira ialah Oktober merupakan Bulan Nasional negara China, yang menyebabkan kesesakan di Lapangan Terbang Guangzhou Baiyun, berikutan penerbangan yang telah dijadualkan lebih awal.

“Saya dimaklumkan urusan dalam fasa terakhir bagi menyempurnakan perkhidmatan penerbangan Kuala Lumpur-Ipoh-Guangzhou, China khususnya ketetapan akhir daripada pihak Lapangan Terbang Guangzhou Baiyun,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Kar Hing berkata, jadual penerbangan, harga tiket dan segala urusan pembelian tiket secara online akan diumumkan di laman web rasmi Scanda Sky yang bakal diumumkan pada pertengahan October ini.

“Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Scanda Sky kerana terus komited dalam menjayakan penerbangan ini.

“Kerajaan negeri dan pemain industri dalam negeri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam merealisasikan penerbangan tersebut memandangkan impian ini telah lama dinanti-nantikan oleh warga Perak,” ujarnya.

Beliau berharap dengan pelaksanaan penerbangan itu akan dapat merancakkan kegiatan ekonomi di negeri Perak khususnya dalam sektor pelancongan.