KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak lama lagi berpeluang untuk menikmati penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Tashkent mulai Julai.

Satu majlis menandatangan perjanjian berhubung perkara itu diadakan di Kedutaan Uzbekistan di Malaysia di sini, melibatkan Malaysia Airlines dan Osmon Aero.

Ketua Pegawai Eksekutif Osmon Aero, Anastasiya Arushanova memberitahu Bernama bahawa perkhidmatan penerbangan sewa khas akan bermula dari 9 Julai.

"Penerbangan sewa khas itu dikendalikan Osmon Aero," katanya selepas majlis pelancaran di Kedutaan Uzbekistan di Malaysia.

Beliau berkata ada satu penerbangan untuk setiap 10 hari sehingga Oktober.

"Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan terus itu. Pelancaran penerbangan terus ini memainkan peranan besar dalam memperbaharu hubungan rapat negara dan rakyat antara dua benua," katanya.

Turut hadir Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov.

-- BERNAMA