Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan pengakuan bersalah bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner terhadap tuduhan jenayah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan wujudnya skandal melibatkan syarikat itu.

Malah, ia disifatkan sebagai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan mana-mana pihak yang cuba mempertahankan mereka yang terlibat dengan skandal berkenaan.

"Sekurang-kurangnya dakwaan DOJ terhadap Tim Leissner dan Jho Low, terutama apabila Tim Leissner mengaku bersalah membuktikan bahawa skandal 1MDB itu wujud. Saya rasa ini sangat penting iaitu Leissner mengaku melakukan kesalahan melibatkan 1MDB," katanya dalam sidang media di bangunan parlimen di sini hari ini.


Guan Eng berkata, beliau hairan dengan sesetengah pihak yang masih menyokong dan mempertahankan individu yang terlibat dengan skandal 1MDB walaupun tahu kesalahan yang dilakukan.

"Ini adalah bukti yang paling kukuh yang membuktikan apa yang disebut oleh pihak sana adalah satu penipuan besar. Memang itu adalah satu skandal di mana pegawai kanan Goldman Sachs mengakui mereka terlibat dalam penipuan ini. Jadi jangan pula cakap ini tidak berlaku. Ini semua berlaku. Ini penipuan besar. Sampai hari ini masih ada yang sokong penyangak. Ini yang saya tidak faham," tambahnya lagi.

Beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap suspek paling dikehendaki, Jho Low.

"Saya ada bercakap dengan kedutaan China bahawa mereka mengatakan Jho Low tidak berada di China, berdasarkan rekod pasport yang diperoleh negara itu, melainkan Jho Low menggunakan nama yang berlainan maka dia tidak dikesan," katanya.


Leissner sebelum ini mengaku bersalah atas dua tuduhan jenayah melibatkan 1MDB.

Leissner, 48 tahun, dituduh mengubah wang haram untuk bertujuan melanggar FCPA melalui pemberian rasuah terhadap pegawai-pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi.