PUTRAJAYA: Isu permohonan Pengampunan Diraja ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, ia adalah pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik dan bukannya pendirian kerajaan.

"Tidak... tidak... pernah dibincangkan dalam Kabinet dan ia bukan pendirian kerajaan. Kita kena tahu membezakan, isu pardon (pengampunan) itu adalah pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik.

"Pardon dari segi proses, sesiapa sahaja yang disabitkan dengan kesalahan boleh memohon pengampunan. Itu adalah proses biasa. Sesiapa sahaja boleh memohon pengampunan.

"Tapi sama ada dibenarkan atau tidak, terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong, kita menaruh kepercayaan kepada proses dan kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pengampunan Najib tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet - Loke

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap Pemuda dan Puteri.

Sementara itu mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali, Anthony menegaskan, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan oleh jemaah menteri.

Terdahulu Azalina menerusi kenyataan menjelaskan, pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dalam laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).