KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu pemilik kedai emas berhubung pembelian barang kemas yang tidak wujud.

Mohamad Faeez Amirul Mohd Fauzi, 30, didakwa menipu Nurhaya Ab Aziz, 42, dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM560,000 miliknya bagi pembelian barang kemas itu yang mana wanita itu tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Conlay di sini pada 20 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Haziq Aziz yang mewakili Mohamad Faeez Amirul memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung seorang ibu berusia 48 tahun, adik dan dua anak saudaranya.

"Ibunya hadir ke mahkamah hari ini untuk menjadi penjamin dan hanya membawa wang jaminan RM5,000 sahaja. Saya mohon mahkamah memberikan satu jumlah jaminan yang munasabah kepada anak guam saya," kata peguam itu.

Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menetapkan 5 Julai untuk sebutan kes.

Sementara itu, Mohamad Faeez Amirul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 34, dengan memperdayakannya untuk mempercayai dalam urusan pakej penginapan hotel tidak wujud yang dikendalikan tertuduh sehingga mangsa menyerahkan wang RM14,950.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kafe di Wangsa Maju di sini pada 5 Ogos 2020, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan.

Mohamad Faeez Amirul turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan memperdayakan wanita sama berhubung perkara serupa, pada tarikh dan lokasi sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun Haziq yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen dan diberikan jaminan RM50,000.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA