KUANTAN: Cubaan seorang penganggur mencuri sebuah kereta serta melarikan seorang kanak-kanak lelaki seorang peniaga nasi lemak berjaya dipatahkan pihak polis dalam sekatan jalan raya di Gambang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, semasa kejadian, ibu mangsa sedang mendapatkan rawatan kutu di rumah kawannya, di Felda Lepar Hilir 1 dan membiarkan anaknya berada dalam kereta dengan enjin masih hidup.

"Siasatan awal mendapati, wanita itu yang telah meletakkan kereta Perodua Alza berwarna kelabu miliknya di hadapan rumah kawannya, dan meninggalkan anaknya berusia 9 tahun di dalam kereta memandangkan rawatan itu tidak mengambil masa yang lama.

"Bagaimanapun, lima minit kemudian, dia keluar dan mendapati keretanya tiada, malah diberitahu oleh jiran terdekat bahawa ternampak seorang lelaki baharu sahaja melarikan kereta beliau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, wanita itu terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan, dan bergegas mengejar suspek dengan kenderaan lain bersama saksi tersebut.

Katanya, pengadu telah melihat suspek memberhentikan kereta dan anak lelaki pengadu berjaya keluar dari kenderaan, tetapi suspek terus melarikan kereta pengadu.

"Pengadu terus mendapatkan anaknya dan terus mengejar suspek. Namun, semasa tiba di kawasan Maran, suspek telah berjaya ditahan oleh peronda polis.

"Hasil soal siasat, suspek yang berusia 35 tahun itu menggunakan alasan mencuri kereta tersebut untuk pulang ke kampung di Mentakab," ujarnya.

Tambahnya, suspek telah dibawa ke Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.