KOTA BHARU: Dua lelaki termasuk seorang penuntut sebuah kolej di sini ditahan bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang gadis bawah umur hingga hamil.

Penuntut berusia 18 tahun dan seorang penganggur berusia 20 tahun tersebut ditahan di dua lokasi berasingan pada Ahad dan Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas polis menerima laporan berkait kes rogol membabitkan seorang remaja berusia 14 tahun pada Khamis lalu.

“Pada Ahad lalu, sepasukan polis dari Cawangan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Pasir Mas membuat tangkapan ke atas penuntut kolej berkenaan di sebuah rumah di Kampung Seri Padang Demit Kubang Kerian, Kota Bharu.

“Pada Isnin lalu, suspek kedua yang tidak bekerja ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhamad Zaki berkata, hasil semakan terhadap kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja berusia 14 tahun mengandung tiga bulan dipercayai dirogol dua lelaki dalam kejadian berasingan di rumahnya pada 28 Mac lalu.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian