MELAKA: Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil meminta mana-mana penganjur yang mahu menganjurkan sebarang acara di negeri itu agar mewujudkan garis panduan tersendiri bagi mengelak perlakuan kurang senonoh daripada peserta ketika acara berlangsung.

Beliau berkata ia penting bagi menjaga nilai dan akhlak peserta terutama yang beragama Islam sekali gus mereka menjadi contoh kepada masyarakat.

"Bagi pihak agensi agama khususnya di Melaka (ini), dengan kejadian tular yang berlaku pihak kami berasa terkilan kerana keadaan itu tidak menggambarkan etika dan akhlak dan memahami konsep seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat Islam itu sendiri.

"Jadi bagi pihak agensi agama khususnya di pihak kerajaan negeri juga, saya mengharapkan pihak penganjur supaya dapat berhati-hati memastikan setiap acara dan program yang dimasukkan dalam apa acara dalam mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan, budaya dan sebagainya mestilah mempunyai satu garis panduan yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Abdul Halim mengulas mengenai kontroversi aksi gelek mengghairahkan yang berlaku ketika penganjuran satu festival di Melaka, baru-baru ini.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata beliau menyokong segala program dilaksanakan mana-mana pihak dalam usaha menyemarakkan aktiviti pelancongan di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bukan satu lesen untuk melanggar garis panduan dan etika yang telah ditetapkan dan sensitiviti rakyat negeri itu harus menjadi keutamaan.

"Pesanan saya buat penganjur agar lebih berhati-hati dalam memilih 'vendors' dan mengetatkan lagi aktiviti dan pemantauan berterusan harus dilakukan jika hendak membuat lagi program seperti ini di Melaka," katanya.

-- BERNAMA