GEORGE TOWN: Bakal pengantin di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu sekurang-kurangnya Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (ujian sendiri) sebelum menjalani akad nikah, berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata wali dan saksi nikah juga wajib menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai usaha membendung penularan wabak itu.

"Bagi Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19, ia perlu dilakukan 30 minit sebelum majlis akad nikah berlangsung yang hanya dibenarkan (akad nikah) dijalankan di Pejabat Agama Daerah (PAD) sahaja dan pasangan pengantin yang didapati negatif sahaja dibenarkan meneruskan akad nikah.

"Bakal pengantin berlainan daerah atau negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daripada pihak polis, jika gagal (merentas daerah atau negeri) mereka boleh melantik dan mewakilkan seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata majlis akad nikah dijalankan di PAD dengan prosedur operasi standard(SOP) ketat dan hanya 10 pasangan sahaja dibenarkan setiap hari dengan tujuh orang membabitkan pengantin lelaki dan wanita, wali, saksi, ibu atau bapa pengantin lelaki serta jurugambar sahaja pada setiap sesi yang mengambil masa tidak lebih 30 minit.

Mengenai kursus praperkahwinan, Mohd Zakuan berkata kursus secara bersemuka ditangguhkan sebaliknya, proses temu duga dilakukan bagi menggantikan kursus praperkahwinan dan tujuan permohonan kebenaran berkahwin di Pulau Pinang dengan pendaftaran bagi proses temu duga boleh dilakukan di laman sesawang emunakahat.penang.gov.com.

"Khidmat nasihat rumah tangga atau kekeluargaan secara bersemuka ditangguhkan dan hanya dijalankan secara dalam talian iaitu melalui emel, talian pejabat atau talian khas pada hari bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4 petang," katanya.

Beliau berkata pihak JHEAIPP berhak menolak kehadiran pemohon sekiranya langkah keselamatan ditetapkan atau apa-apa arahan Pegawai Agama Daerah dari semasa ke semasa gagal dipatuhi sepenuhnya.

-- BERNAMA