KUANTAN: Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan kakitangannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas pertuduhan memalsukan dokumen daripada sebuah syarikat pada 2020.

Tertuduh, Dayang Kartini Awang Bujang, 46, dan Mardziana Che Mohd Amin, 36, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Menurut kertas pertuduhan, kedua mereka didakwa dengan niat bersama telah memalsukan dokumen arahan pembayaran berkaitan perkhidmatan menyediakan aksesori set kepala pelanduk bagi jabatan kumpulan kesenian  atas nama sebuah syarikat Anas Niaga berjumlah RM9,920 kepada jabatannya.

Kedua mereka didakwa mengetahui perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan Anas Niaga dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di pejabat JKKN di Kuantan pada 26 Jun 2020.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun serta hendaklah dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan pegawai SPRM Kamariah Seman manakala kedua tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Mahkamah mebenarkan jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan masing-masing seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga diminta melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan bermula bulan ini dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 22 Februari ini bagi penyerahan dokumen.