KUALA LUMPUR: Tiada kompromi terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dengan rasuah dan dadah, demikian amaran Ketua Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali.

Hazani berkata, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah dan dadah, katanya dilaporkan Utusan TV.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga sentiasa terbuka untuk memberi kerjasama penuh terhadap agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu rasuah dibanteras sepenuhnya.

“Saya akan ambil tindakan lebih tegas terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Tiada kompromi, tiada istilah ‘orang saya’, ‘orang dia, sindiket saya’, ‘sindiket dia’, saya akan ambil tindakan sewajarnya.

“Kita memang pantau setiap masa dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada lain-lain agensi untuk membanteras rasuah daripada berleluasa.

“Kita serius untuk mempertahankan integriti polis dan isu ini (rasuah dan dadah) adalah perkara yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan TV ketika ditemui selepas meninjau Kejohanan Tembak RMP Open Championship Level III di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya hari ini.

Turut hadir ialah Komander Unit Tindak Khas merangkap Pengarah Kejohanan, Senior Asisten Komisioner Mohd Suzrin Mohd Rodhi dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Shapadu, Datuk Seri Shafiz Shaarani.